Auto Added by WPeMatico

GUA MUSANG – Persiapan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) sudah mencapai 100 peratus dan sedia untuk dianjurkan bermula 20 hingga 24 Mei ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, LIMA’25 edisi ke-17 anjuran Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Global Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd. (GEC) itu kini di peringkat memperkemaskan memorandum persefahaman (MoU) bersama agensi dalam dan luar negara.
Katanya, terdapat banyak MoU sama ada melibatkan agensi darat, laut atau udara dan jumlah itu akan dimaklumkan menjelang hari penganjuran LIMA’25.
“Persiapan penganjuran sudah mencapai 100 peratus. Setakat ini, persediaan kita adalah untuk melengkapkan aturan tetamu luar negara dan penglibatan pihak industri dalam LIMA’25.
“Penganjuran LIMA ’25 merupakan medan peneraju industri dalam industri aeroangkasa dan maritim untuk membincangkan perkara yang berkaitan dan MoU dalam meningkatkan kerjasama pelbagai pihak.
“Sememangnya akan ada banyak MoU dimeterai terutamanya yang berkait dengan aset-aset pertahanan sama ada darat, laut dan udara. Kita akan manfaatkan pameran kali ini sebagai medan dua hala kerana ada persidangan dan pertemuan yang diaturkan untuk mengikat lebih banyak persefahaman dengan negara yang terlibat terutama negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Veteran Desa Madani di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adly memberitahu, Malaysia bakal memperoleh banyak manfaat selain memperkukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat dalam LIMA’25. – KOSMO! ONLINE
The post Persiapan penganjuran LIMA’25 siap sepenuhnya appeared first on Kosmo Digital.