Auto Added by WPeMatico

PASIR MAS – Pemandu kereta jenis Honda Civic EK yang terlibat dalam nahas mengorbankan empat sekeluarga termasuk suami dan dua anaknya di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang dekat sini semalam masih kritikal meskipun sudah boleh mula sedarkan diri.
Ibu mangsa, Tuan Ruzila Tuan Teh, 48, berkata, anaknya, Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, sudah sedar dan boleh bercakap selepas selamat menjalani pembedahan akibat kecederaan tulang rusuk tercucuk paru-paru, rahang dan pipi patah.
Menurutnya, Tuan Norsyuhada dipindahkan dari Hospital Gua Musang ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan selanjutnya.
“Dia sudah sedar, tetapi masih lagi dalam keadaan kritikal. Sebaik sedar, dia bertanya keadaan anak dan suaminya.
“Saya pada awalnya menyembunyikan situasi sebenar, namun akhirnya terpaksa memaklumkan bahawa suami dan dua anaknya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kubang Bemban, di sini tengah malam tadi.
Menurutnya, Tuan Norsyuhada sempat menyentuh arwah suami polis berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan dua anaknya buat kali terakhir ketika dibawa ke pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang semalam.
Kosmo! Online semalam melaporkan, empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penumpang kereta jenis Honda Civic EK, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, termasuk adik kepada Muhammad Faiz, Nor Aina Imra meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tuan Norsyuhada merupakan isteri kepada Muhammad Faiz memandu kereta tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit.
Mereka sekeluarga menyertai Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor pada Sabtu lalu dalam perjalanan dari Lembah Klang untuk pulang ke Pasir Mas. – KOSMO! ONLINE
The post 4 maut: Tuan Norsyuhada boleh bercakap tapi kritikal appeared first on Kosmo Digital.