Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan kritikal di sebuah hospital di Krabi, Thailand akibat kemalangan dengan sebuah lori di negara jiran itu sudahpun dibawa pulang ke Pulau Pinang, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Hazim Rafiq Bin Hussain, 21, kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Seberang Jaya (HSJ), hasil sokongan orang ramai serta koordinasi pantas pertubuhan kebajikan.
Muhammad Hazim tiba di HSJ pada pukul 11.30 malam tadi dengan ambulans dan ditemani ibunya, Rozina @ Norhafizah Binti Abdul Rajad, 51.
Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, berkata, pihak One Hope bertindak segera sebaik sahaja menerima permohonan bantuan daripada keluarga mangsa.
“Sebaik kes ini dirujuk kepada pihak kami, kami terus menyelaras urusan berkaitan rawatan perubatan, pelepasan hospital dan pemindahan rentas sempadan, di samping melancarkan kutipan dana secara serentak,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, jumlah RM80,000 yang diperlukan bagi menampung kos perubatan dan proses pemindahan telah berjaya dikumpulkan sepenuhnya hasil sokongan masyarakat, sekali gus membolehkan urusan pemindahan dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan serta pemantauan lanjut oleh pasukan perubatan tempatan,” ujarnya yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
Jelasnya, sokongan orang ramai telah memberi peluang kepada anak muda ini untuk kembali ke tanah air dan meneruskan rawatan.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan pemuda yang koma di sebuah hospital di Krabi, Thailand selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di negara jiran itu pada 31 Disember tahun lalu, memerlukan RM80,000 untuk dibawa pulang.
Pada 4 Januari lalu, media melaporkan, seorang rakyat Malaysia koma selepas motosikal yang ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori.
Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk pendarahan pada kepala, paru-paru bocor dan retak pada tulang bahagian pinggang. Kejadian berlaku ketika pemuda itu bersama lima rakan berkonvoi ke Thailand. -KOSMO! ONLINE
The post Pemuda nahas di Krabi sudah dibawa pulang ke P. Pinang appeared first on Kosmo Digital.