Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Meskipun pernah dipenjara sebanyak tujuh kali termasuk atas kesalahan dadah tidak pernah menginsafkan seorang penarik motosikal apabila ditahan pihak berkuasa di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 37 tahun itu antara tiga individu yang dicekup Agensi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam Ops Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Menurut lelaki tersebut, dia baharu sahaja dibebaskan daripada penjara di Kajang atas kesalahan mengambil dadah pada Mac lalu.
Katanya, semasa ditahan dia bersama rakannya dalam perjalanan ke Batu 3, Shah Alam bagi menarik motosikal yang mempunyai hutang pinjaman.
“Saya telah mengambil dadah jenis syabu sejak dua tahun sebelum ini kena penjara empat bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sepanjang hidup sudah tujuh kali masuk penjara termasuk atas kesalahan jenayah samun dan ugutan jenayah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lelaki tersebut yang mempunyai tatu tangan berbentuk rantai di bahagian tangan kiri tersebut memaklumkan tidak pernah menjalani pemulihan dadah di mana-mana pusat AADK.
Sementara itu, rakannya yang juga merupakan lelaki berusia 34 telah terjebak dengan penyalahgunaan dadah jenis sama sejak berusia 13 tahun.
Dia yang berasal dari Inanam, Sabah tersebut mendapatkan bekalan syabu tersebut pada harga serendah RM20.
“Saya pemandu lori dan melakukan kerja sambilan menarik motosikal ini.
“Sekali setahun saya akan pulang ke kampung untuk bertemu isteri dan dua anak. Siapa tidak mahu insaf namun saya belum jumpa jalannya lagi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Penjara sudah 7 kali namun tak serik ambil dadah appeared first on Kosmo Digital.