Auto Added by WPeMatico

![]()
GERIK – Sebanyak 94 tong gas petroleum cecair dan 270 liter petrol disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dari dua buah premis yang menjualnya secara haram di kawasan perkampungan Orang Asli di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan tersebut dilaksanakan pihaknya pada pukul 5.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Gerik susulan siasatan terhadap satu aduan melibatkan di kawasan berkenaan.
“Operasi ini dilaksanakan hasil maklumat orang awam mengenai kewujudan premis yang menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa memiliki lesen atau permit yang sah.
“Hasil pemeriksaan rapi di lokasi mendapati, dua premis dikesan menjalankan aktiviti perdagangan LPG dan petrol secara haram,” katanya di sini hari ini.
Dalam serbuan tersebut, Kamalludin berkata, dua individu iaitu lelaki berumur 32 tahun dan perempuan berumur 38 tahun yang dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan berkenaan.
Katanya, ekoran kegagalan mematuhi peraturan tersebut, pihak KPDN telah bertindak menyita sebanyak 94 tong LPG serta 270 liter petrol bagi tujuan siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan hasil daripada operasi ini dianggarkan berjumlah RM10,966.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan menjual barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 94 tong LPG, 270 liter petrol dijual secara haram disita appeared first on Kosmo Digital.
