Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas 15,000 pasang kasut dan selipar tiruan atau ciplak dianggarkan bernilai RM400,000 dalam serbuan di sebuah kompleks pemborong di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini kelmarin.
Pengarahnya, Mohd. Sabri Seman berkata, kesemua barang tiruan itu ditemui disimpan dalam lapan stor dipercayai milik seorang warga tempatan.
Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai mula bertapak di ibu negara sejak dua bulan lalu dan sering berpindah randah di sekitar Lembah Klang bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
“Serbuan dilakukan hasil risikan oleh KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama tiga minggu serta dapat mengenal pasti rangkaian sindiket berkenaan. Modus operandi mereka adalah memiliki stor sebagai gudang dan showroom tertutup berkunci untuk mempamerkan sampel kepada pembeli. Pembeli datang lihat model sebelum membuat pesanan.
“Barangan ini dibawa masuk melalui jalan laut dan dipercayai dari China. Pasukan serbuan berjaya menyita 15,000 pasang selipar dan kasut tiruan berjenama pelbagai dengan anggaran nilai hampir RM400,000,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk produk tiruan pada harga RM4 bagi selipar dan RM20 bagi kasut dan dijual semula pada harga berlipat kali ganda kepada peniaga di seluruh negara termasuk dari negara jiran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati selipar dijual semula sehingga RM40 hingga RM50 sepasang, manakala kasut pula dijual pada harga antara RM100 hingga RM120. – KOSMO! ONLINE
The post Kasut, selipar ciplak jalan TAR kena rampas appeared first on Kosmo Digital.