Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – UMNO mahu tujuh kuota menteri penuh kekal milik parti itu sekiranya berlaku rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, impak perletakkan jawatan Tengku Zafrul tidak terlalu memberi kesan kepada parti, namun jawatan dalam Kabinet berkenaan perlu dilihat kembali.
“Kita tunggu dia (Tengku Zafrul) tamat tempoh sebagai senator (ahli Dewan Negara) hujung tahun ini. Tengku Zafrul belum letak jawatan (menteri) lagi, dia cuma keluar parti.
“Tetapi kuota UMNO sebanyak tujuh orang tersebut mesti dikekalkan sebab itu asas kepada rundingan kita semasa kita nak menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Rantau, di sini, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi agar UMNO menyemak semula kemungkinan menuntut pampasan sebanyak RM100 juta sekiranya tindakan itu dikira sebagai lompat parti, beliau menegaskan aku janji tersebut tidak terikat buat Tengku Zafrul.
“Itu tidak termasuk dalam bidang lingkup perjanjian tersebut kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya. Kerana itu (pampasan RM100 juta) adalah merupakan aku janji seorang wakil rakyat ataupun adun atau ahli parlimen (BN),” katanya. -KOSMO!ONLINE.
The post Rombakan Kabinet: Kuota tujuh menteri UMNO perlu kekal appeared first on Kosmo Digital.