Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM1,400 daripada seorang pengurus syarikat logistik, lima tahun lalu.
Tertuduh, Che Fazdlie Izwan Che Johari, 38, membuat pengakuan itu sejurus dua pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29 di JPJ Negeri Melaka telah menerima suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM1,400 tanpa sebarang balasan daripada seorang pengurus syarikat logistik yang mana tertuduh mengetahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Bank Simpanan Nasional Cawangan Batu Berendam, Taman Mutiara Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Februari dan 3 Jun 2020.
Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi tertuduh.
Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum bagi kedua-dua pertuduhan dengan alasan anak guamnya telah digantung tugas dan terpaksa melakukan dua kerja sambilan untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau lima bulan penjara jika gagal bayar.- KOSMO! ONLINE
The post Anggota JPJ didenda RM10,000 terima suapan syarikat logistik appeared first on Kosmo Digital.