Auto Added by WPeMatico

SINGAPURA – Penduduk sebuah blok bangunan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) di Jurong Barat, Singapura membuat aduan tentang seorang lelaki yang tidur di koridor flat itu selama tiga bulan, lapor portal berita MS News semalam.
Katanya, lelaki tersebut tidur di luar unit flat saudara kandung perempuannya kerana tidak mampu menyewa bilik sendiri.
Ketika wartawan melawat blok itu, mereka sempat bercakap dengan lelaki tersebut yang berusia 63 tahun.
Warga emas itu menafikan bahawa dia mengganggu jiran-jiran, sebaliknya dia tidur di koridor untuk mengelakkan konflik dengan saudara perempuannya yang mengalami masalah kemurungan.
Lelaki itu menjelaskan bahawa dia pernah mempunyai bilik sendiri ketika bekerja sebagai tukang cuci.
Bagaimanapun, selepas berhenti kerja pada Jun tahun lalu, dia tidak mampu membayar sewa sebanyak SGD$700 (RM2,304) sebelum akhirnya merayau-rayau tanpa hala tuju.
Dia akhirnya pergi ke rumah saudara kandungnya itu untuk mendapatkan bantuan.
Namun, tiada lagi tempat untuk lelaki tersebut tinggal di dalam unit flat itu, menyebabkan dia terpaksa tidur di koridor.
Pihak berkuasa sedang membantunya untuk memohon penginapan. – AGENSI
The post Lelaki tidur di koridor flat tiada wang bayar sewa appeared first on Kosmo Digital.