Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda mencatatkan rekod baharu operasi pelabuhan setelah mengendalikan 1,269,389 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena dalam tempoh sebulan pada Mei lalu.
Ia rentetan daripada rekod kendalian bulanan PTP sebelum ini, yang mana kejayaan pengendalian 1,183,759 TEU pada Mac, dan 1,215,751 TEU pada April 2025 menandakan tiga rekod kendalian bulanan tertinggi baharu secara berturut-turut.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian Mei lalu benar-benar luar biasa, melangkaui rekod kendalian April dengan penambahan lebih 53,000 TEU.
“Ini adalah satu lonjakan yang signifikan. Dengan momentum positif ini, kami menjangkakan persekitaran operasi PTP akan kekal kukuh sepanjang tahun ini, meskipun berdepan dengan persekitaran global yang penuh cabaran,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah beliau, selain kemampuan menguruskan volum kargo yang besar secara lancar, pihaknya juga secara konsisten memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan dan rakan kongsi.
“Pada masa yang sama, kami turut berbangga kerana dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, kejayaan itu merupakan refleksi kepada keupayaan operasi PTP dalam memberikan perkhidmatan dan usaha kolaborasi cemerlang bersama pelanggan di hab transshipment terkemuka itu, termasuk rangkaian Gemini Cooperation yang baharu dilancarkan Maersk dan Hapag-Lloyd.
Katanya, PTP merupakan hab utama Asia dalam Gemini Cooperation, dan memainkan peranan penting dalam menyokong kejayaan kerjasama global itu.
“Kami komited untuk mengekalkan produktiviti yang tinggi secara konsisten, meskipun jumlah dagangan meningkat dan permintaan semakin sengit, seperti daripada rangkaian Gemini Cooperation.
“Kestabilan ini menambah nilai yang signifikan untuk pelanggan dan memastikan kebolehpercayaan jadual kekal menjadi teras komitmen perkhidmatan kami,” katanya.
The post PTP catat rekod pengendalian tertinggi appeared first on Kosmo Digital.