Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kerajaan menegaskan harga petrol RON95 kekal pada paras RM1.99 seliter dan tidak akan melakukan sebarang perubahan drastik terhadap harga mahupun dasar buat masa ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan konflik di Timur Tengah setakat ini tidak memberi isyarat kukuh untuk kerajaan mengubah pendekatan sedia ada termasuk dari segi penetapan harga bahan api domestik.
“Kementerian Ekonomi sedang memantau dengan teliti apa yang berlaku di Timur Tengah tetapi ia tidak memberikan sebarang petunjuk untuk kerajaan membuat sebarang perubahan drastik dari segi dasar kita.
“Kerajaan telah laksanakan subsidi bersasar, kita masih mengekalkan harga RON95 yang munasabah kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum CEOs OGSE 2026, hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga masih mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2026 pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus meskipun ketegangan geopolitik di Timur Tengah berterusan.
“Jika terdapat sebarang keperluan untuk melaraskan semula angka tersebut, ia akan dilakukan oleh Bank Negara tetapi setakat hari ini kami masih melihat ke hadapan dari segi apa yang kami sasarkan untuk pertumbuhan untuk 2026,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan kerajaan akan berusaha mengekalkan harga RON95 pada kadar semasa RM1.99 seliter demi kepentingan rakyat.
Beliau memaklumkan, walaupun harga minyak mentah global berdepan tekanan susulan ketidaktentuan di Selat Hormuz, kerajaan komited mempertahankan harga RON95 menerusi pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95).- KOSMO! ONLINE
The post RON95 kekal RM1.99, kerajaan belum bercadang ubah dasar appeared first on Kosmo Digital.
