Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa masyarakat desa, khususnya di Sabah, melalui pelbagai inisiatif pendidikan awal, digital dan sahsiah yang lebih inklusif.
Menurut beliau, sebanyak 42 inisiatif pemerkasaan desa diperkenalkan tahun ini di bawah Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) yang menyasarkan pembangunan pendidikan awal, literasi digital serta kemahiran masa depan.
“Inisiatif seperti Smart Classroom, Pra-Tahfiz, TVET Tahfiz dan Tabika Tunas Istimewa adalah antara langkah konkrit membuka ruang pendidikan yang adil dan digital kepada anak-anak desa, termasuk di Sabah yang kaya dengan budaya serta potensi luar biasa.
“Kemas sebagai sayap penting KKDW terus berperanan sebagai jambatan yang mendekatkan dasar kerajaan kepada rakyat,” katanya di media sosial.
Terdahulu, Ahmad Zahid telah merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa Madani @ Lahad Datu anjuran Kemas Negeri Sabah, pagi tadi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah berkata, pendekatan yang dibawa kerajaan kini meletakkan masyarakat desa bukan lagi sebagai kelompok pinggiran, sebaliknya pemacu utama pembangunan negara.
“Sabah adalah rakan strategik dalam pembinaan masa depan Malaysia. Kita perlu pastikan anak-anak kita membesar dengan jati diri kukuh serta mempunyai peluang pendidikan dan pembangunan yang adil,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja Kemas Negeri Sabah, kepimpinan tempatan serta komuniti desa yang menyumbang kepada kejayaan program berimpak tinggi ini.
“Insya-Allah, segala usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih saksama dan menyeluruh untuk rakyat, khususnya di Sabah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 42 inisiatif desa Madani diperkenal appeared first on Kosmo Digital.