Auto Added by WPeMatico

BRASILIA – Seorang juruterbang warga Australia terbunuh selepas pesawat ringan membawa hampir 200 kilogram (kg) kokain dikendalikannya terhempas di sebuah ladang tebu di Brazil, lapor akhbar The Independent.
Juruterbang itu ditemui tidak bernyawa di luar bangkai pesawat selepas terhempas di bandar Coruripe, Ahad lalu.
Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 1.48 tengah hari (waktu tempatan) dan mengerahkan enam anggotanya ke lokasi nahas kerana bimbang berlaku letupan.
Selepas tiba di tempat kejadian, pihak berkuasa menemui antara 180 kg sehingga 195 kg kokain di dalam bangkai pesawat.
“Lebih 187 kotak berisi kokain dibalut untuk menyerupai bungkusan SpaceX (palsu) milik syarikat Elon Musk,” kata pihak berkuasa.
Dadah itu kemudian dibawa ke Pusat Keselamatan Awam Bersepadu.
Masih belum jelas dari mana pesawat itu berlepas atau lokasi hendak dituju, namun ia dipercayai melakukan perjalanan jarak jauh kerana membawa tangki bahan api tambahan, demikian menurut polis tempatan.
“Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti pemilik barang terlarang itu,” kata Polis Persekutuan Brazil dalam satu kenyataan. – AGENSI
The post Pesawat terhempas di ladang tebu, polis jumpa hampir 200 kilogram kokain ‘Space X’ appeared first on Kosmo Digital.