Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh di sini merupakan salah satu daripada tiga projek pembangunan kerajaan yang dikenal pasti sebagai projek ‘sakit’ dan bermasalah di Kelantan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, kegagalan kontraktor mematuhi tempoh siap menyebabkan projek bernilai RM28.46 juta itu terpaksa diserahkan kepada pihak lain.
Menurutnya, JKR menyasarkan projek klinik berkenaan disiapkan pada 26 Oktober depan dengan pelaksanaan pembinaan diteruskan bagi memastikan kemudahan kesihatan itu dapat beroperasi secepat mungkin.
“Kelewatan projek Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh memberi kesan langsung kepada penduduk setempat apabila mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pendek.
“Keadaan itu menjejaskan keselesaan dan akses perkhidmatan kesihatan. Apabila klinik baharu itu siap, ia akan dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan bagi meningkatkan kualiti rawatan kepada penduduk setempat,” katanya pada sidang media selepas Cabutan Kerja Undi JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Kelantan di Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tunjong di sini hari ini.
Nik Badlihisham memberitahu, dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Abdullah, Melor dan kerja menaik taraf wad Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian antara dua lagi projek yang dikenal pasti mengalami kelewatan di Kelantan.
Katanya, kedua-dua projek itu dilakukan tidak teratur dan gagal mengikut jadual perancangan.
“Kontraktor yang bakal mengambil alih projek-projek sakit itu diwajibkan mematuhi sepenuhnya syarat kontrak dan jadual pelaksanaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Badlihisham berkata, JKR Cawangan Kejuruteraan menerima peruntukan lebih RM6 juta bagi pemasangan, penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat untuk tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan untuk pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan yang berisiko akibat jalan gelap.
“Selebihnya akan diguna untuk tujuan penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat. Dana itu bertujuan untuk melaksanakan program atau projek yang telah dirancang bagi tahun ini.
“Justeru, seramai 189 kontraktor elektrik seluruh Kelantan telah mendaftar bagi bagi cabutan undi kerja di negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh antara 3 projek ‘sakit’ di Kelantan appeared first on Kosmo Digital.