Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Helah sebuah premis yang berselindung di sebalik operasi kilang plastik terbongkar apabila disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram dalam satu operasi khas di Kuala Selangor, kelmarin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah kilang di Ijok.
Menurutnya, hasil risikan selama sebulan serta maklumat awam membawa kepada penahanan seramai 22 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 66 tahun.
“Mereka terdiri daripada tujuh warga China dan 15 warga Bangladesh yang dipercayai bekerja serta berada di premis itu tanpa mematuhi peraturan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan awal mendapati enam warga China dan 10 warga Bangladesh menyalahgunakan pas yang dimiliki, manakala dua warga Bangladesh pula tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Baki warga asing lain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi tersebut turut berdepan cabaran apabila penjaga premis enggan memberikan kerjasama, manakala beberapa pekerja asing bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta bersembunyi.
“Bagaimanapun, semua suspek berjaya ditahan. Seorang pegawai operasi turut mengalami kecederaan ketika menjalankan pemeriksaan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Dalam serbuan itu, beliau berkata, pihak berkuasa turut menyita 12 pasport Bangladesh, enam pasport China, kad perakam waktu serta lesen perniagaan premis.
Zakaria berkata, siasatan mendapati premis berkenaan dikendalikan oleh warga China yang menggunakan lesen kitar semula plastik bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Bahan e-waste dipercayai dibawa masuk menggunakan lori atau kontena dan dilabel sebagai plastik kitar semula,” jelasnya.
Menurutnya, premis itu juga dilengkapi sistem pemantauan dan amaran awal bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa selain dipercayai menempatkan pekerja warga asing di dalam kilang berkenaan.
Jelasnya, seorang warga China ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala beberapa lagi ditahan mengikut peruntukan undang-undang imigresen lain.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki tempatan turut diberikan notis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Kilang plastik jadi ‘topeng’ operasi e-waste, 22 warga asing dicekup appeared first on Kosmo Digital.
