Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,980 permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak Malaysia yang dilahirkan di luar negara diluluskan bagi tempoh tahun 2024 hingga 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu adalah permohonan kewarganegaraan yang diproses di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Setakat saya bagi jawapan ini, tak ada lagi yang kita tidak luluskan. Kecuali, purata permohonan baharu sekarang ini masuk lebih kurang 100 sebulan.
“Kita belum proses mengikut pindaan yang kita telah luluskan kerana 2024 hingga 2025 yang kita proses mengikut 15(2) jumlahnya adalah 1,980,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution menerangkan, pindaan Perlembagaan berhubung anak lahir di luar negara yang ibunya berkahwin dengan warga asing akan mendapat taraf kewarganegaraan secara automatik belum berlaku.
Menurut beliau, pindaan itu perlu disusuli beberapa lagi proses dan penetapan tarikh kuat kuasa yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Ujar beliau, sementara pindaan itu berkuat kuasa, anak yang lahir di luar negara terlibat boleh memohon mendapat warganegara di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
Menjawab soalan tambahan lain, Saifuddin Nasution menjelaskan, semakan terhadap sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dalam permohonan kewarganegaraan cuma elemen sokongan.
“Ia tetap tidak menjadi sebagai satu syarat mutlak. Syarat mutlak mesti ibu bapa atau salah seorang warganegara Malaysia, ada sijil ikatan perkahwinan dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 1,980 permohonan kewarganegaraan kanak-kanak lahir luar negara diluluskan appeared first on Kosmo Digital.