Auto Added by WPeMatico

MANCHESTER – Bintang berpengalaman Manchester City, Kevin De Bruyne dihimpit perasaan bercampur baur selepas menyumbangkan gol kemenangan untuk menewaskan Wolverhampton Wanderers 1-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Jeneral tengah Belgium itu sebelum ini sudah mengumumkan tidak akan kekal bersama The Citizens musim depan dan mengakui gembira kerana masih menapat sokongan penuh daripada seluruh pasukan termasuk para penyokong.
“Rakan sepasukan mengatakan adalah sesuatu yang menyedihkan apabila saya akan berhijrah tetapi itulah akan berlaku dalam kehidupan. Saya berikan segalanya untuk memenangi setiap perlawanan.
“Saya sudah tunjukkan bahawa saya masih boleh bermain (peringkat tinggi). Jika tidak, sudah pasti saya tak mampu buat apa yang saya lakukan dalam empat atau lima minggu terakhir ini,” katanya.
Kemenangan itu cukup penting buat City yang mahu mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan apabila kini berada di tangga ketiga, tiga mata di belakang Arsenal di tempat kedua.
Pengurus City, Pep Guardiola berterima kasih kepada De Bruyne kerana tetap memainkan peranan besar buat pasukan termasuk ketika mereka mengatasi Crystal Palace 5-2 pada 12 April lalu.
“Sumbangannya cukup hebat ketika menentang Palace di mana ketika itu kami ketinggalan 0-2. Saya gembira dengan penyudahnya dan kami masih ada satu lagi perlawanan di Etihad.
“Saya mahu berterima kasih kerana saya pasti tidak akan mampu melakukan semua ini tanpanya. Dia seorang pemain yang hebat dan sukar untuk cari penggantinya,” katanya. – AGENSI
The post De Bruyne tidak simpan dendam peribadi appeared first on Kosmo Digital.