Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Rayuan kerajaan, Ketua Polis Negara dan dua pihak lain untuk mengetepikan saman yang dikemukakan ibu model warga Belanda Ivana Esther Robert Smit, akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan di Mahkamah Rayuan di sini.
Keputusan sama ada kesemua perayu berjaya atau tidak mengetepikan saman itu akan ditentukan oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang telah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
“Kami tidak boleh memberikan keputusan hari ini. Panel akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut. Kami menetapkan 21 April untuk pengurusan kes,” kata Hakim Mohamed Zaini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ong Chee Kwan dan Hakim K.Muniandy.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili perayu berhujah Mahkamah Tinggi secara jelas telah tersilap dalam mengenakan kewajipan berjaga-jaga ke atas polis berhubung siasatan cuai yang didakwa terhadap si mati.
“Penemuan Mahkamah Tinggi bahawa terdapat ‘kegagalan asas untuk menyiasat sama sekali’ dan ‘penyingkiran sepenuhnya tanggungjawab penyiasatan’ adalah jelas salah dan tidak disokong oleh keterangan defendan kedua (ASP Faizal Abdullah) semasa perbicaraan.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) KPN tidak dikemukakan atau dikemukakan sebagai keterangan oleh plaintif semasa perbicaraan. Defendan kedua juga tidak dirujuk kepada SOP ini atau mana-mana peruntukan dalam SOP ini semasa pemeriksaan balas,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Sankara Nair
yang mewakili ibu Ivana, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen pula berhujah Mahkamah Tinggi adalah betul dalam mempertanggungjawabkan kerajaan Malaysia secara wakil atas perbuatan jahat yang dilakukan oleh penjawatnya semasa bekerja.
Ini kerana hakim Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa perayu-perayu mempunyai kewajipan berhati-hati dalam menjalankan siasatan.
Pada 29 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM1.1 juta kepada keluarga Ivana selepas membenarkan saman yang dikemukakan Christina Carolina.
Ia yang mana mahkamah mendapati terdapat kecuaian oleh pihak polis dalam mengendalikan siasatan kematian gadis itu
pada tahun 2017.
Christina Carolina, 60, selaku plaintif memfailkan saman itu pada pada 20 November 2020, terhadap Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.
Saman itu berhubung dakwaan melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.
Pada 7 Disember 2022, Mahkamah Tinggi menolak permohonan polis dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan plaintif atas alasan kes tersebut tidak sesuai dibatalkan kerana terdapat persoalan serius yang perlu dihujahkan melalui perbicaraan penuh.
Pada 18 Mac 2019, Sebelum ini, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, wanita itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 November 2019.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (yang kini hakim Mahkamah Persekutuan) mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali’ dan memerintahkan Peguam Negara (AG) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Rayuan kerajaan ketepi saman ibu model Belanda diketahui ke tarikh lain appeared first on Kosmo Digital.
