Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa media melaporkan kes salah laku seksual melibatkan beberapa pelajar di sebuah sekolah di Melaka secara beretika.
MCMC dalam kenyataan berkata, media perlu bertanggungjawab, tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
“Pengamal media juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti. (Ini) selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, orang ramai turut diingatkan bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
“МСМС sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan daripada platform media sosial,” ujarnya.
Semalam Kosmo! melaporkan, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan empat pelajar Tingkatan Lima direman selama enam hari bermula semalam hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu di dalam sebuah kelas dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.
Insiden terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah mengenai penyebaran video berkenaan sebelum membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE
The post Media diingatkan lapor kes pelajar secara beretika – MCMC appeared first on Kosmo Digital.