Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Cuaca panas melampau yang melanda beberapa daerah di Kedah sejak Sabtu lepas belum mencetuskan sebarang kes strok haba dalam kalangan penduduk di kawasan itu, namun terdapat peningkatan kes berkaitan penyakit lain direkodkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, trend kemasukan dan yang menerima rawatan di hospital serta klinik kesihatan meningkat sedikit di Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Dengan cuaca sebegini, memang dijangka akan berlaku peningkatan kes demam, batuk, asma dan selsema.
“Memang ada sedikit peningkatan dalam bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital, namun masih dalam kawalan dan belum mencapai tahap membimbangkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar minum air kosong secukupnya selain mengelak aktiviti fizikal yang terlalu lama di luar ketika cuaca panas.
“Kanak-kanak dan warga emas paling terdedah kepada penyakit berkaitan cuaca ini, kita harap masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut memaklumkan sebanyak 10 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berada pada status cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) ekoran perkara itu. – KOSMO! ONLINE
The post Kes demam, batuk, asma meningkat akibat cuaca panas appeared first on Kosmo Digital.