Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mengingatkan semua ahli parti tidak terlalu taksub membincangkan soal agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini kerana kata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi soal pengagihan kerusi itu perlu diserahkan kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti dalam Kerjaaan Perpaduan.
Jelasnya, tindakan mempersoalkan pengagihan itu hanya mencetuskan polemik dalam parti masing-masing.
“Jangan kita terlalu emosional, terlalu menganalisis dan melihat hanya dari sudut pandangan individu. Isu seperti agihan kerusi dan sebagainya, biarlah ia ditentukan oleh pucuk pimpinan.
“Kami (kepemimpinan tertinggi) sering bertemu dan berbincang. Jadi, tak perlulah perkara ini dibangkitkan, sama ada oleh Pemuda UMNO atau Pemuda Amanah. Saya kira terlalu awal untuk mempolitikkan hal ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Pertama SPU di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan Pakatan Harapan (PH) Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRN lalu.
ADUN Merlimau itu berkata, BN tidak sesekali akan melepaskan kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kepada gabungan berkenaan, termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.
Dalam PRN lalu, 21 DUN dimenangi BN, lima PH dan dua Perikatan Nasional (PN) dan PRN Melaka seterusnya dijangka diadakan selewat-lewatnya November tahun depan.-KOSMO! ONLINE.
The post Jangan taksub bincang agihan kerusi PRN Melaka appeared first on Kosmo Digital.