Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Pencemaran pada makanan dan peralatan memasak dikenal pasti sebagai punca keracunan makanan kepada 322 peserta Program hari keluarga sebuah agensi kerajaan di sebuah taman tema di Selangor, bulan lalu.
Kejadian berlaku pada 4 Oktober lalu apabila 322 daripada 4,710 peserta program berkenaan mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut selepas menikmati hidangan yang disediakan di premis dapur taman tema tersebut.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi kejadian itu dua hari kemudian, pada 6 Oktober.
“Majoriti pesakit terdiri daripada golongan dewasa iaitu 92 peratus, manakala selebihnya adalah kanak-kanak dan remaja.
“Semua kes telah mendapatkan rawatan dan tiada pesakit dimasukkan ke wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kematian dilaporkan,” katanya malam ini.
Menurut JKNS, hasil penilaian risiko mendapati kejadian berpunca daripada makanan tercemar di premis berkenaan.
“Faktor penyumbang termasuk penyediaan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali terhad, penyimpanan lama sebelum dihidangkan serta kemungkinan pencemaran silang semasa proses penyediaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, JKNS menutup sementara dapur taman tema terbabit bagi tujuan pembersihan serta nyahkuman menyeluruh sebagai langkah kawalan dan pencegahan. – KOSMO! ONLINE
The post Makanan tercemar punca 322 peserta hari keluarga keracunan makanan appeared first on Kosmo Digital.