Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, teruja untuk kembali bersekolah walaupun selepas insiden itu tular.
Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 40, memberitahu, keterujaan itu kerana anaknya sudah lama bercuti sejak 8 Ogos lalu akibat tidak sihat dan menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Puteri, di sini.
Bagaimanapun katanya, anaknya masih mempunyai kesan-kesan trauma akibat kejadian tersebut seperti kerap menangis di dalam tidur dan mengigau.
“Sejak kejadian ini tular, dia masih belum bersekolah kerana berada di hospital sejak 12 Ogos sehingga kelmarin, tetapi Izzul beritahu dia tak sabar untuk kembali ke sekolah.
“Ini kerana dia mempunyai dua rakan karib dan mereka bertiga sentiasa bersama-sama. Semasa kejadian buli itu berlaku dua rakannya itu juga yang membantu dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Universiti, di sini hari ini.
Tambah suri rumah itu, walaupun anak keempatnya itu enggan memberitahu perasaan sebenarnya iaitu mengalami trauma, namun dia percaya itu yang sedang dihadapi.
“Izzul memang tidak mahu beritahu kepada saya sama ada dia trauma atau tidak sihat, kerana dia mahu ke sekolah. Tetapi saya tahu keadaan dia, selain kerap menangis dalam mimpi, dia juga mudah terasa dan lebih sensitif berbanding dahulu.
“Dia juga lebih banyak menyendiri berbanding bermain bersama-sama adik beradiknya. Jadi saya akan lihat kesesuaian untuk dia kembali bersekolah, dijangka pada bulan depan,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Suhana turut menegaskan pihaknya akan meneruskan hasrat untuk mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang telah membuli anaknya ketika berada di sekolah.- KOSMO! ONLINE.
The post Izzul teruja kembali ke sekolah, tetapi masih trauma – Ibu appeared first on Kosmo Digital.