Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Rata-rata penjawat awam di Kelantan menyambut baik langkah kerajaan menaikkan gaji bagi meringankan beban rakyat kerana keadaan ekonomi tidak menentu.
Di Kota Bharu, Kelantan, seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lokman Jusoh berkata, kenaikan gaji adalah sangat wajar dan bertetapan pada waktunya mengambil kira situasi semasa keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Saya bersyukur dengan kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus. Ia sedikit sebanyak meringankan beban keluarga.
“Saya boleh gunakan lebihan gaji untuk menyimpan untuk persiapan menyambut Ramadan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Seorang lagi penjawat awam, Mohd. Noor Iqram Rosli berkata, dia berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berusaha membantu golongan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kerajaan.
Katanya, dengan kenaikan gaji tahun ini membolehkannya membuat persiapan Ramadan dan menyambut Aidilfitri.
“Saya bersyukur dengan kenaikan gaji itu. Tahun ini saya boleh belanja lebih sikit dengan gaji kadar baharu,” katanya.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan, penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menerima pelarasan gaji Fasa Kedua pada pembayaran gaji mulai hari ini (22 Jan), dengan kadar kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Dis 2025.
Di Petaling Jaya, seorang anggota polis, Mohammad Badzrul Hafifi Ahmad Kamal, 33, berkata, dia menerima kenaikan gaji sebanyak RM180 dan ia amat bermakna buat dirinya yang sudah berkeluarga dan menetap di Lembah Klang.
“Alhamdulillah, dengan pergerakan gaji tahunan berserta kenaikan pelarasan gaji baharu tujuh peratus, tahun ini gaji saya bertambah hampir RM300. Sangat bermakna untuk ada tambahan duit belanja bulanan. Boleh bantu bayar komitmen dan simpanan,” katanya.
Menurutnya, ini membuktikan kerajaan mengambil kira kebajikan penjawat awam yang berdepan tekanan ekonomi semasa selain memberi suntikan semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Bila usaha kami dihargai, ia secara tidak langsung menaikkan motivasi kerja. Sekurang-kurangnya rasa dihargai selepas bertahun berkhidmat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kenaikan gaji beri kelegaan penjawat awam appeared first on Kosmo Digital.