Auto Added by WPeMatico

HULU TERENGGANU – Biarpun tiada pendidikan dan sekadar belajar hingga tingkatan dua, seorang pemuda membuktikan kemampuan menjadi pengusaha benih ikan kelah berjaya.
Muhammad Jailani Mohd. Sabri, 25, berkata, bekalan anak ikan kelah diusahakan sejak dua tahun lalu bukan sahaja mendapat sambutan dalam pasaran tempatan, malah berjaya dieksport hingga ke China, Hong Kong dan Thailand.
“Benih ikan kelah yang dieksport ke pasar luar negara kebiasaannya bersaiz antara 15 hingga 60 sentimeter.
“Buat masa ini, ia melibatkan kuantiti antara 100 hingga 200 ekor sebulan terutamanya untuk pasaran China,” katanya ketika ditemui di Kampung Basung, di sini semalam.
Katanya, setiap ekor benih ikan kelah tersebut dijual pada harga antara RM150 hingga RM2,000 mengikut kualiti.
Katanya, anak ikan kelah yang diekport akan dipastikan benar-benar sihat dan tiba kepada pembeli termasuk ke luar negara dalam tempoh kira-kira 24 jam.
“Saya mula memberanikan diri terlibat dalam perusahaan pembenihan ikan kelah pada 2013 dengan bantuan abang ipar, Muhamad Ridhuan Abd. Rahim, 31, yang banyak membantu pemasaran.
“Kebanyakan bekalan diperolehi daripada penduduk kampung setempat pada Januari hingga Mac,” katanya.
Muhammad Jailani berkata, anak ikan kelah tersebut kemudiannya dibela di dalam akuarium sebelum boleh dipasarkan apabila mencapai saiz ditetapkan. -KOSMO! ONLINE
The post Ikan kelah Jailani ‘terbang’ hingga ke Hong Kong appeared first on Kosmo Digital.