Auto Added by WPeMatico

![]()
JAKARTA – Beberapa penduduk Banyumas wilayah Jawa Tengah menjadi mangsa kegiatan penipuan ajaran sesat seorang lelaki yang menggelar dirinya ‘Sultan Nusantara’ sehinggakan ada yang kerugian wang hampir 1 bilion rupiah (RM229,000), lapor laman berita Detik.
Peguam salah seorang mangsa, Djoko Susanto berkata, anak guamnya dijemput untuk menghadiri sesi pengajian agama oleh seseorang yang hanya dikanali sebagai W.
Dia merupakan seorang penduduk Kampung Arcawinangun, daerah Purwokerto Timur pada Oktober hingga November 2025.
“Anak guam saya mula menghadiri pengajian agama kira-kira enam bulan yang lalu. Dari situ, dia mula ditawarkan pelbagai ajaran sesat,” kata Djoko.
Pengikut Sultan Nusantara turut diajar larangan yang dianggap tidak konvensional. Ia termasuk larangan memakan haiwan tertentu seperti belut atau ikan keli, dan larangan menerima vaksin, pergi ke hospital atau menderma darah.
“Lelaki juga dikehendaki memakai emas kerana ia didakwa akan menghangatkan aura mereka. Jadi, ajaran itu memang pelik,”jelas Djoko.
Aditio yang merupakan salah seorang mangsa pula berkata, dia menyertai kumpulan itu pada September 2025 selepas tertarik dengan sikap sopan pelaku.
Namun, lama-kelamaan, Aditio berkata, dia mula merasakan sesuatu yang pelik tentang ajaran tersebut.
“Selepas itu, ia mula menyimpang, malah terdapat arahan untuk melawan ibu bapa jika mereka dianggap murtad,” katanya.
Kegiatan itu dilaporkan berlangsung di daerah Purwokerto Timur, manakala pusat aktivitinya dipercayai berada di kawasan Pabuaran, Purwokerto Utara.
Sementara itu, Ketua Polis Banyumas, Komisioner Kanan Petrus Silalahi mengesahkan laporan itu. Beliau menyatakan bahawa polis mula menyoal siasat saksi semalam.
“Ya, memang benar, kami menerima aduan mengenai perkara ini pada hari Sabtu dan akan menyoal siasat saksi hari ini (semalam),” katanya. – AGENSI
The post Penduduk terperdaya ajaran ‘Sultan Nusantara’ appeared first on Kosmo Digital.
