Auto Added by WPeMatico

KUALA SELANGOR – Penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini, menuntut ganti rugi sebanyak RM1.6 juta terutamanya daripada pihak pemaju ekoran kejadian benteng kolam takungan yang pecah berulang kali di kawasan itu.
Tuntutan itu disuarakan 28 pemilik yang kediaman mereka telah tiga kali terjejas sejak 2015.
Peguam mewakili penduduk, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor berkata, pihaknya akan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada pihak terlibat dalam masa terdekat.
Katanya, tindakan undang-undang itu dilakukan atas faktor kerosakan harta benda akibat banjir kilat yang didakwa berpunca daripada kolam takungan berkenaan.
“Tuntutan RM1.6 juta itu adalah anggaran awal antaranya meliputi kerosakan struktur rumah, perabot, kenderaan dan kos pembersihan yang ditanggung penduduk. Kami akan hantar LOD terlebih dahulu. Jika tiada maklum balas memuaskan dalam tempoh 14 hari, kami akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya pada sidang akhbar di Puncak Alam di sini, malam tadi.
Kata Nur Aminahtul, pihaknya meneliti senarai defendan dalam tuntutan itu termasuk pemaju utama dan kerajaan negeri.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebanyak 35 rumah di taman perumahan itu terjejas selepas dinaiki air akibat limpahan kolam berkenaan yang pecah kali terakhir pada 23 April lalu.
Kejadian kali kedua berlaku pada 29 Disember tahun lalu yang menjejaskan 200 rumah, manakala kali pertama pada 2015. – KOSMO! ONLINE
The post Kolam takungan pecah: Penduduk tuntut ganti rugi RM1.6 juta appeared first on Kosmo Digital.