Auto Added by WPeMatico

RAUB – Seorang pengusaha kedai makan di Felda Tersang 3 di sini mengalami detik cemas apabila sebahagian premis miliknya musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika Ezan Samad, 42, sedang menyediakan masakan ayam goreng kunyit untuk tempahan tahlil selepas waktu maghrib..
“Masa saya hendak hidupkan api dapur, tiba-tiba api menyambar. Mujur saya sempat elak dan tutup muka. Api marak cepat sebab kedai separuh kayu, separuh batu.
“Saya cuba padamkan api dengan menutup tong gas menggunakan kain basah, tetapi tidak berjaya. Duit hasil jualan lebih RM2,000 dan beg tangan yang ada dokumen penting tak sempat diselamatkan. Saya juga cedera di kaki akibat dihempap tong gas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub, Jalailudin Abdul Mubin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan enam anggota dari BBP Raub dengan bantuan lima anggota dari BBP Sungai Koyan bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki dua buah jentera.
“Sebaik tiba di lokasi 28 minit kemudian, pihak bomba mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kedai makan jenis separuh kekal dengan kira-kira 70 peratus struktur premis musnah.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dengan dua nozel air daripada tangki jentera bomba dan tamat sepenuhnya pada pukul 5.42 petang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pengusaha kedai makan cedera, duit hangus dalam kebakaran appeared first on Kosmo Digital.