Auto Added by WPeMatico

MARANG – Kawasan kebocoran gas butana ekoran kebocoran paip di tapak projek Seksyen 5, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kerteh, Kemaman telah berjaya dikecilkan kepada 500 meter.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebelum ini, kawasan terjejas dikenapasti seluas kira-kira 2.5 kilometer.
“Seramai 10 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM telah ditempatkan di lokasi tersebut.
“Mereka sedang melakukan kerja-kerja pencairan bahan (gas butane) dan menyahlupus baki gas di dalam paip,” katanya ketika ditemui di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di sini malam ini.
Nor Hisham berkata, kawasan terjejas hanya akan diserahkan kepada operator berkenaan setelah keseluruhan gas butane yang berada di dalam paip berjaya dinyahkan.
Beliau berkata, kerisauan utama ialah pengumpulan gas butana mudah terbakar sekiranya terdedah dengan udara.
Terdahulu, laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon, Kemaman terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas di tapak projek Seksyen 5,
ECRL di Kampung Chabang, Kerteh pada pukul 9.53 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Kawasan kebocoran paip gas Kerteh dikecilkan 500 meter appeared first on Kosmo Digital.