Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini selamat tiba di Kazan, ibu negeri Republik Tatarstan, sebagai sebahagian daripada rangka Lawatan Negara ke Persekutuan Russia.
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada pukul 10.15 pagi waktu tempatan (8 Ogos).
Keberangkatan tiba Baginda disambut penuh hormat oleh Presiden (Rais) Tatarstan, Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, selain turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Industri dan Perdagangan Tatarstan, O. V. Korobchenko, dan Duta Russia ke Malaysia, Naiyl M Latypov.
Mengiringi Sultan Ibrahim dalam lawatan ke Kazan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring dan Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.
Republik Tatarstan merupakan sebuah republik autonomi dalam Persekutuan Russia dengan majoriti penduduknya beragama Islam.
Lawatan ini mencatat sejarah apabila Sultan Ibrahim menjadi Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak hubungan diplomatik dua hala terjalin pada 1967.
Lawatan rasmi Seri Paduka Baginda bermula pada 5 Ogos lalu atas jemputan Presiden Russia, Vladimir V. Putin.-KOSMO! ONLINE.
The post Agong selamat tiba di Kazan, Russia appeared first on Kosmo Digital.