Auto Added by WPeMatico

KUALA KRAI – Seorang imam terkejut melihat rakan dan kariah masjidnya berada dalam keadaan berlumuran darah di atas sejadah sebaik sahaja menunaikan solat subuh di rumahnya di Kampung Kuala Gris, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Othman Jusoh, 74, disahkan meninggal dunia di rumah tersebut.
Iman Tua Masjid Mukim Kuala Gris, Marhadi Mohamed, 53, berkata, dia dimaklumkan oleh isteri mangsa bahawa warga emas itu meninggal dunia selepas dipukul anaknya dengan kerusi kayu.
“Saya lihat sebuah kerusi kayu yang sudah patah dipercayai digunakan oleh anaknya yang berusia 40 tahun untuk memukul kepala mangsa berada di sebelah Othman. Anaknya pula berada di ruang dapur rumah tersebut dan tidak bercakap apa-apa,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Marhadi memberitahu, kebiasaannya, mangsa dan isterinya akan pergi menunaikan solat subuh di masjid yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Rosdi Ismail, 53, berkata, dia bergegas ke rumah suspek selepas mengetahui warga emas itu meninggal dunia akibat dipukul oleh anaknya.
“Suspek sebelum ini pernah dijel akibat kes dadah dan keluar penjara pada Jun lalu. Dalam tempoh dua bulan, ini merupakan kejadian kali kedua suspek mengamuk di kampung dan kali ini bapanya menjadi mangsa.
“Difahamkan, suspek bertindak kejam terhadap bapanya selepas mereka bergaduh hal ehwal melibatkan duit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Imam terkejut lihat mangsa berlumuran darah atas sejadah appeared first on Kosmo Digital.