Auto Added by WPeMatico

![]()
ANKARA – Sebuah pesawat kargo C-130 milik tentera Turkiye terhempas dekat sempadan Georgia-Azerbaijan selepas berlepas dari Azerbaijan, kata Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye hari ini seperti laporan laman berita AeroTime.
“Pesawat kargo tentera C-130 yang berlepas dari Azerbaijan menuju Turkiye terhempas di sempadan Georgia-Azerbaijan.
“Usaha mencari dan menyelamat dimulakan dengan kerjasama pihak berkuasa Azerbaijan dan Georgia,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat itu pecah di ruang udara sebelum terhempas.
Fiuselaj (badan pesawat) putus dengan bahagian kokpit jatuh secara berasingan, manakala sayapnya berpusing dan meletup apabila jatuh ke tanah.
Tiada maklumat lanjut dikeluarkan mengenai bilangan atau keadaan kru yang berada di dalamnya.
Tentera Udara Turkiye memiliki armada 18 pesawat C-130B dan C-130E Hercules yang digunakan untuk pengangkutan taktikal dan misi kemanusiaan.
Pada Oktober 2025, Turkiye mengesahkan perjanjian untuk membeli 12 pesawat pengangkut C-130J Hercules terpakai daripada Tentera Udara Diraja United Kingdom.
Langkah itu bertujuan memodenkan armada pengangkutan angkat sederhana (medium-lift) Turkiye dan menghentikan penggunaan model B dan E yang lebih lama. – AGENSI
The post Pesawat Turkiye putus dua sebelum terhempas appeared first on Kosmo Digital.