Auto Added by WPeMatico

KUALA NERUS – Dua lelaki iaitu kapten dan pelancong yang merupakan warga Turkiye dikhuatiri hilang selepas kapal layar, Daisy dinaiki mereka karam di perairan Pulau Yu, dekat sini kelmarin.
Kapal layar dinaiki mereka bersama seorang lagi pelancong lelaki yang terselamat dikatakan dalam perjalanan ke Pelabuhan Pattani, Thailand sebelum dipukul ribut pada pukul 2.30 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, sebelum kejadian, kapal layar yang dalam misi pulang ke negara asal, Turkiye singgah di Pelabuhan Kuantan, Pahang dari Sydney, Australia.
“Kapal layar itu kemudiannya meneruskan pelayaran pada pukul 5 petang, Isnin lalu sebelum terbalik akibat dipukul ribut sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kapal layar tersebut tercampak ke tengah laut sebelum salah seorang pelancong dikenali sebagai Ates Demiroren, 42, berjaya diselamatkan,” katanya di sini, hari ini.
Hamiludin berkata, Demiroren telah diselamatkan oleh kru sebuah bot nelayan tempatan sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, dua mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Ahmed Volkan Ata iaitu kapten kapal dan Eser Demirkol yang kedua-duanya berumur 52 tahun.
“Maritim Malaysia telah melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat bermula pukul 3 petang tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kapal layar Turkiye karam, dua hilang di perairan Terengganu appeared first on Kosmo Digital.