Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Selepas lebih 31 jam dilaporkan hilang di dalam hutan, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, atau lebih dikenali sebagai Gemuk akhirnya ditemui selamat di Kampung Permatang Pasir, Alai, di sini awal pagi tadi.
Gemuk ditemui pada pukul 1.57 pagi oleh penduduk kampung bersama pasukan bomba yang terdengar suara mangsa mengerang dari arah semak di belakang sebuah rumah penduduk.
Remaja itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan lemah sehingga terpaksa dipapah oleh anggota bomba dan dibawa ke rumah salah seorang penduduk untuk berehat sementara menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.
Siaran langsung TikTok yang tular di media sosial turut memaparkan Gemuk yang memakai baju T hijau diselamatkan dalam suasana azan sedang dilaungkan di lokasi kejadian.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia atau Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung penemuan mangsa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Gemuk hilang sejak petang kelmarin selepas keluar sekitar pukul 6.30 petang untuk mencari lembu milik bapa saudaranya di kawasan hutan berhampiran.
Kehilangan remaja tersebut mengundang pelbagai spekulasi termasuk dakwaan penduduk bahawa kawasan di dua buah kolam terbiar di lokasi pencarian mungkin mempunyai kaitan dengan kehilangan Gemuk kerana ia dipercayai ‘keras’.
Suasana turut menjadi gempar apabila seekor lembu betina yang dikatakan hilang berjaya ditemui selepas azan dilaungkan pada pukul 10 malam, sedangkan lokasi terlibat telah digeledah lebih dua jam sebelumnya namun tidak menemui sebarang petunjuk. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Hilang 31 jam, Gemuk ditemui lemah dalam semak appeared first on Kosmo Digital.