Auto Added by WPeMatico

![]()
GOMBAK – Penduduk di kawasan Batu 11 Gombak merayu campur tangan segera pihak berkuasa serta pemimpin politik selepas menerima notis kedua daripada Jabatan Perhutanan Selangor yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing selewat-lewatnya 10 November ini.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Rantau Utara Batu 11 Gombak, Norfahizariha Darus, 37, berkata mereka sebelum ini telah menerima notis pertama pada 15 Oktober 2024 yang melibatkan 24 buah rumah, namun diberikan penangguhan tanpa tarikh tetap.
Bagaimanapun, pada 9 Oktober lalu, penduduk sekali lagi menerima notis baharu yang memaklumkan mereka perlu mengosongkan rumah dalam tempoh sembilan hari sahaja.
“Kami dah buat macam-macam. Surat sudah dihantar kepada ketua kampung, penghulu, pejabat daerah, pejabat Menteri Besar, termasuk pejabat politik Timbalan Perdana Menteri. Kami juga serah salinan kepada pejabat perhutanan serta pihak masjid.
“Kami bukan mahu melawan, kami hanya minta penangguhan kerana keadaan kami tidak mampu berpindah dalam masa singkat,” katanya pada siang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Timbalan Pengerusi Kampung Gombak Batu 11, Normala Baharim, 38, berkata pihaknya turut membuat laporan polis bagi melindungi diri sebagai wakil penduduk sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, tindakan mengadakan sidang media bukan bertujuan menentang pihak berkuasa, tetapi semata-mata mahu menarik perhatian pemimpin agar turun padang dan mendengar rintihan rakyat.
“Sekarang sudah tinggal sembilan hari. Kami dah naik turun pejabat, tapi belum ada satu pun jawapan yang pasti.
“Ke mana kami nak pergi? Ke mana arah kami selepas rumah dirobohkan?” ujarnya.
Menurutnya, sebahagian besar penduduk terlibat terdiri daripada golongan B40 dan warga emas yang tidak berkemampuan menyewa rumah lain dalam masa singkat.
“Selepas notis pertama tahun lepas, ada seorang ayah jatuh sakit jantung sebab terlalu tertekan bila tahu rumahnya akan diroboh. Rumah kami pun bukan besar, sudah uzur, tapi itu satu-satunya tempat berteduh.
“Kalau nak pindah rumah sekarang, sewa pun RM900 sebulan, deposit dua bulan tambah satu bulan air semuanya lebih RM3,000. Itu belum termasuk upah lori, buka bumbung atau pindahkan barang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan perobohan itu mempunyai kaitan dengan projek pembesaran Lebuh Raya Pantai Timur atau faktor lain, memandangkan tiada penjelasan rasmi diterima daripada mana-mana pihak.
“Kami ni anak Gombak, rakyat Malaysia, ada kad pengenalan biru, bukan warga asing. Jadi tolonglah kami.
“Turunlah pemimpin-pemimpin yang berjawatan tinggi, tengok keadaan kami. Bantulah kami,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa dapat mempertimbangkan semula tarikh pengosongan tersebut bagi memberi ruang kepada penduduk mencari penyelesaian yang lebih wajar dan berperikemanusiaan. – KOSMO! ONLINE
The post “Kami tidak mampu berpindah dalam masa singkat” appeared first on Kosmo Digital.