Auto Added by WPeMatico

HULU SELANGOR – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan ngeri dengan kepala dibalut kain serta tangan dan kaki diikat di tepi landasan kereta api dekat Sungai Serian, Kalumpang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada orang awam sekitar pukul 10.30 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai telah dicampak dari Jambatan Kampung Sungai Serian yang berketinggian 11.15 meter.
“Siasatan pihak forensik mendapati kaki dan tangan mangsa telah diikat selain kepala dibalut dengan kain yang dilekatkan menggunakan pita pelekat hitam dan putih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ibrahim berkata, pemeriksaan fizikal mendapati mangsa sudah meninggal dunia melebihi empat hari berdasarkan keadaan mayat yang mengalami pereputan.
Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada pukul 9 pagi, esok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Fadlu Abdul Aziz di talian 03-60641222. – KOSMO! ONLINE
The post Tangan diikat, kepala dibalut, mayat ditemui di landasan kereta api appeared first on Kosmo Digital.