Auto Added by WPeMatico

TAMPIN – Tentera darat akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) membabitkan latihan operasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) susulan kes kematian membabitkan pelatih kadet berkenaan di Johor, baru-baru ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, latihan operasi tempur yang disertai pelatih kadet berkenaan sememangnya merupakan satu latihan yang berisiko tinggi kerana melibatkan penggunaan peluru hidup.
Bagaimanapun menurutnya, latihan itu bertujuan untuk menguji dan meningkatkan daya tahan, keyakinan serta keberanian anggota dan pegawai yang dilatih.
“Sebab itulah, semasa latihan ini dilaksanakan untuk sekelompok 112 pegawai kadet Palapes untuk setiap satu sesi itu, lebih daripada 20 orang pegawai dan jurulatih ditempatkan untuk mengawasi pelaksanaan eksesais tersebut.
“Eksesais ini tidak lama, ia cuma mengambil masa dalam 15 minit sahaja. Jadi, kita akan teliti semula SOP ini dari aspek mungkin pemeriksaan kesihatan kepada setiap pelatih kadet dengan lebih teliti sebelum memulakan latihan.
“Walaupun secara umumnya, pegawai kadet yang dihantar untuk latihan itu sihat atau fit for training,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2025 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin Gemas, di sini hari ini.
Sebelum ini, Kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor. – KOSMO! ONLINE
The post Tentera darat teliti semula SOP latihan babitkan kadet Palapes appeared first on Kosmo Digital.