Auto Added by WPeMatico

![]()
SERDANG – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini sebagai Kabinet bekerja.
Zambry berkata, pertukaran beberapa portfolio menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin memastikan penggabungan antara ‘senior’ dan ‘junior’ dapat dilaksanakan.
“Beliau (Anwar) ingin memastikan supaya pergabungan semua dapat dilaksanakan. Ada yang senior dan yang junior, yang orang veteran, yang muda.
“Kita letakkan dalam satu pasukan yang baik untuk memastikan supaya agenda Madani itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Training of Trainers (ToT) Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Zambry berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri dapat benar-benar melaksanakan agenda-agenda yang ingin dilaksanakan melalui Kabinet MADANI baharu.
“Kita telah pun berusaha melakukan pelbagai program dan pendekatan serta perubahan.
“Perdana Menteri mahukan saya meneruskan agenda-agenda yang telahpun kita susun seperti yang tersedia maklum. Kita telah menyiapkan pelan pendidikan tinggi negara untuk 10 tahun yang akan datang. Insya-Allah akan dibentangkan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan timbalan menteri baharunya iaitu Adam Adli Abdul Halim yang menggantikan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.
“Pertama saja saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada timbalan saya sebelum ini, Datuk Mustapha Sakmud yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah Sarawak) yang baharu.
“Saya mengalu-alukan kehadiran saudara Adam Adli, tentunya beliau sebagai seorang anak muda dan beliau juga mempunyai latar belakang aktivis pelajarnya dan sekarang ini beliau berada dalam posisi sebagai timbalan menteri yang menjaga segi dasar-dasar, saya yakin beliau dapat bekerja dengan kombinasi yang baik yang boleh kita laksanakan,” katanya.
Katanya, peranan utama pihaknya ialah untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara dapat berjalan dengan sebaik-baiknya.- KOSMO! ONLINE
The post Ini ialah Kabinet bekerja – Zambry appeared first on Kosmo Digital.