Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Seorang jurutadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki warga emas untuk menyerahkan cek dan wang tunai berjumlah RM62,760 bagi mempercepatkan permohonan pembinaan bangunan dua tingkat di Rimba Terjun, Pontian, sejak lima tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Nazri Abu Bakar, 38, yang bertugas di l Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, bapa kepada empat anak itu didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 72 tahun untuk menyerahkan tiga keping cek dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM62,760.
Perbuatan itu untuk mendorong mangsa percaya bahawa tertuduh boleh membuat dan menguruskan permohonan untuk membina bangunan dua tingkat di Mukim Rimba Terjun, Pontian sedangkan tidak dilakukan tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Muhammad Nazri di sebuah premis di Batu 36, Jalan Johor, Pontian antara 19 November 2021 hingga 30 Mei 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarulzaman yang mengendalikan kes menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Peguam Mazri Muhammad yang mewakili Muhammad Nazri memohon mahkamah membenarkan jaminan yang minimum memandang tertuduh menanggung isteri dan empat orang anak termasuk seorang anak autisme.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE
The post Jurutadbir perdaya atok RM62,760, percepat permohonan bina bangunan appeared first on Kosmo Digital.
