Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Seorang jurulatih karate ditahan selepas didakwa mencabul pelatih wanitanya di sebuah akademi karate di sini, baru-baru ini.
Penahanan lelaki berusia 46 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 pagi pada 7 Mei lalu di sekitar Seksyen 9, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun, kata Ramsay, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Che Fareez Qusyairy Che Omar ditalian 0182929263.
Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada mangsa pada 5 Mei lalu mendakwa dirinya dicabul jurulatih itu.
Tambah Ramsay, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku bulan Mac lalu apabila mangsa ada memberitahu suspek tidak hadir sesi latihan disebabkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
“Lelaki itu menawarkan diri untuk mengurut kaki mangsa dan telah dipersetujui sendiri oleh wanita itu sebelum bertindak memegang kemaluan mangsa.
“Semasa kejadian, hanya mangsa dan lelaki itu sahaja berada di akademi karate ketika itu. Mangsa telah melawan dengan menolak suspek lalu terus beredar dari situ,” ujarnya.
Jelasnya, mangsa lewat membuat laporan polis kerana bimbang digugurkan dari pasukan berikutan suspek merupakan jurulatih.
Terdahulu, media melaporkan kisah seorang wanita didakwa dicabul jurulatih seni mempertahan diri, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE
The post Jurulatih karate ‘sentuh’ pelatih wanita appeared first on Kosmo Digital.