Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila anaknya yang berusia sembilan tahun menunjukkan kepadanya satu surat ugutan yang dijumpai pelajar itu di kawasan tong sampah di kelasnya.
Wanita berkenaan yang berkongsi mengenai surat tersebut di media sosial turut melahirkan rasa bimbang dengan keadaan berkenaan sebelum meminta guru dan ibu bapa memantau anak masing-masing.
“Kanak-kanak berumur 9 tahun tidak patut berfikiran dan menulis ugutan seperti ini. Zaman sekarang, macam-macam perkara boleh terjadi sekiranya tiada pencegahan awal,” ujarnya.
Pendedahan wanita itu turut dikongsi seorang pengguna di Threads yang meminta perhatian serius diberikan terhadap kesihatan mental kanak-kanak.
“Kesihatan mental perlu diberi perhatian kepada semua pelajar bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan sokongan dan bimbingan kaunseling.
“Bagi seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun untuk mempunyai pemikiran sebegini, ia mungkin menjadi petunjuk bahawa mereka memerlukan bantuan atau menggambarkan apa yang sedang mereka lalui,” menurutnya pada ruang kapsyen.
Tinjauan Kosmo! mendapati ramai bimbang dengan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak yang dianggap kemungkinan meningkatkan kes jenayah di negara.
“Kawan anak saya darjah 4 pun mengadu rakan sekelas mahu menolaknya sehingga mati kerana sakit hati dengannya,” komen @Grungegazer6
“Di sekolah memang ada ujian psikometrik, tapi pihak kaunseling kena ambil tindakan sewajarnya sekiranya ada simptom,” komen @Hananizz –KOSMO! ONLINE
The post Ibu risau anak tahun 3 jumpa surat ugutan di kelas appeared first on Kosmo Digital.