Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memartabatkan semula seni warisan rebana ubi yang semakin dilupakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, kerjasama itu dijalankan menerusi inisiatif MYAirportCARES Lestari Seni.
Katanya, penggiat rebana ubi kini semakin berkurangan dan di Kelantan terdapat 10 hingga 12 orang sahaja yang masih aktif menghasilkan peralatan tradisional berkenaan.

“Pihak kami sentiasa menjalankan pelbagai bengkel atau program secara berterusan yang memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi melahirkan pelapis yang boleh meneruskan pembuatan rebana ubi.
“Saya rasa generasi muda perlu didedahkan dengan seni warisan bagi mengelakkan ia tidak lapuk ditelan zaman dan mampu menjana pendapatan sampingan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program MYAirportCARES Lestari Seni Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi Serta Sambutan Penerbangan Sulong Scoot dari Singapura ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini kelmarin.
Pada majlis itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani yang hadir turut menyerahkan replika cek berjumlah RM140,000 kepada Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat bagi memartabatkan seni warisan rebana ubi.
Rosnan berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk menaik taraf bengkel, pembelian mesin, baik pulih rebana ubi dan pelaksanaan program rintis.
Katanya, program itu dijangka memberi kesan positif dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap seni warisan tradisional dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti seni tempatan.
“Selain itu, dana ini boleh menghidupkan semula seni warisan rebana ubi, melibatkan komuniti seni tempatan melalui sokongan infrastruktur, latihan selain memartabatkan warisan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Izani berkata, sumbangan itu merupakan salah satu komponen utama bagi program tanggungjawab sosial korporat MAHB.
“Program perintis itu memperkasakan seni rebana ubi dalam tempoh dua tahun di bawah seliaan JKKN Kelantan dan membabitkan hampir 30 belia di kawasan bengkel persatuan.
“Program seperti itu menyediakan ruang dan peluang kepada komuniti seni budaya untuk menjana pendapatan melalui aktiviti kesenian dan memastikan kesinambungan warisan itu terus diwarisi generasi akan datang,” katanya.
The post JKKN, MAHB martabatkan semula warisan rebana ubi appeared first on Kosmo Digital.