Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Polis berusaha mengesan jenis kenderaan yang digunakan untuk menculik Datin Seri Pamela Ling Yueh pada 9 April lepas ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, hasil maklumat diperoleh daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ketiga-tiga kenderaan terlibat menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Usaha dalam siasatan kita hari ini adalah untuk mengesan jenis kenderaan yang kita kenal pasti terlibat. Itu hasil siasatan buat masa ini setelah memperoleh rekod daripada JPJ bahawa kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Jadi kita menggunakan peluang ini untuk mengenal pasti model kereta berkenaan dan arahan sudah diberikan untuk mengesannya menggunakan sumber yang ada termasuk CCTV di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan sempadan Selangor.
“Ia untuk mengesan kenderaan yang menyerupai kenderaan yang terlibat dengan kehilangan Pamela Ling,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Beliau menambah, setakat ini polis mengambil keterangan daripada 16 individu termasuk suami kepada wanita berkenaan termasuk pemandu e-hailing dan peguamnya.
“Hasil siasatan yang kita buat daripada penemuan pihak polis kontinjen Kuala Lumpur kes ini masih siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Pamela, 42, hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April pukul 1.09 tengah hari dan polis Kuala Lumpur turut mengeluarkan kenyataan kehilangan wanita itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE.
The post Kenderaan penculik Pamela Ling guna nombor pendaftaran palsu appeared first on Kosmo Digital.