Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Syarikat Pintas Utama terus menzahirkan komitmen terhadap kebajikan jemaah haji apabila menerima plak penghargaan atas sumbangan berterusan sebagai Sahabat Korporat Tabung Haji (TH).
Penghargaan itu diberikan kepada syarikat berkenaan susulan penajaan set beg kepada jemaah Malaysia sepanjang tempoh Haji 1446H/2025.
Penghargaan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Ir Marhalim Mohamed pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat TH.
Marhalim berkata, sumbangan bagi tahun ketiga itu menjadi simbol kepada kekukuhan syarikat terbabit dalam menyantuni jemaah Muassasah.
“Walaupun sederhana, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan jemaah sebelum berangkat menunaikan ibadah haji,” katanya.
Agihan set beg berkenaan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri ketika penganjuran Kursus Perdana Haji, termasuk di Selangor pada April lalu yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Selain berperanan sebagai syarikat berpengalaman dalam pengurusan cerun dan infrastruktur, Pintas Utama konsisten melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada rakyat merangkumi inisiatif pendidikan, kebajikan serta sokongan komuniti. – KOSMO! ONLINE
The post Pintas Utama terima penghargaan, kekal santuni jemaah haji Malaysia appeared first on Kosmo Digital.