Auto Added by WPeMatico

BANGI – Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dijangka dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas melalui proses kelulusan di Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta itu telah digazetkan dan hanya menunggu tarikh rasmi penguatkuasaan yang akan ditentukan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
“Sebaik sahaja beliau (Fahmi) menandatangani, ia akan terus berkuat kuasa agar pihak berkuasa boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di sini, hari ini.
Azalina berkata, pelaksanaan akta tersebut akan disusuli dengan pembentukan jawatankuasa khas yang berperanan meneliti dan mentakrif maksud ‘bahaya dalam talian’ (online harms).
“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Undang-Undang dan perkara ini memang termaktub dalam akta tersebut.
“Terdapat juga jangkaan terhadap penyedia platform digital untuk melaksanakan tanggungjawab tertentu bagi memastikan keselamatan pengguna dalam talian terjamin,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan membentangkan rang undang-undang itu bagi menangani isu kebencian, penipuan siber, gangguan seksual serta ancaman keselamatan digital secara lebih menyeluruh dan teratur.
Akta tersebut turut memberi penekanan terhadap kolaborasi antara agensi penguat kuasa, pihak industri dan masyarakat sivil dalam membendung ancaman digital yang semakin kompleks dan merentas sempadan. – KOSMO! ONLINE
The post Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bakal dikuat kuasa dalam masa terdekat appeared first on Kosmo Digital.