Auto Added by WPeMatico

ISKANDAR PUTERI – Keadaan jerebu di negara ini semakin pulih setelah tiada stesen pengawasan kualiti udara yang merekodkan bacaan udara tidak sihat.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, sehingga pukul 9 pagi tadi, daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara, dua stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.
Katanya, bacaan di 66 stesen yang lain pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), semalam menunjukkan keadaan kering dan mendung berterusan di wilayah selatan ASEAN hari ini, kecuali beberapa di bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan bahagian tengah Sumatera yang diramal hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas latihan simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia di bawah kerjasama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE)di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua), di sini hari ini.
Menurut Wan Abdul Latiff, titik panas bertaburan turut dikesan di Sumatera dan Borneo barat, manakala beberapa titik panas terpencil dikesan di tempat lain di rantau ASEAN selatan.
Katanya, kepulan asap setempat sedikit diperhatikan berpunca daripada titik panas yang dikesan di bahagian Borneo tengah dan selatan Sumatera. – KOSMO! ONLINE
The post Keadaan jerebu semakin pulih, tiada kawasan rekod IPU tidak sihat appeared first on Kosmo Digital.