Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM4.1 juta kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan tertuduh.
Farah Yasmin berkata, terdapat perkembangan dalam kes itu di mana ada tawaran dibuat, iaitu untuk tertuduh membayar kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Tertuduh dalam kes ini sudah membuat pembayaran kompaun sebanyak RM4.1 juta pada Isnin lalu, ” katanya pada sebutan kes berhubung startus representasi itu hari ini.
Sebelum ini, Adam Radlan, 44,, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Bagi lima pertuduhan rasuah Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE.
The post Adam Radlan bebas tuduhan rasuah projek Jana Wibawa appeared first on Kosmo Digital.