Auto Added by WPeMatico

KOTA BHARU – Kerajaan memberi jaminan siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, akan dilakukan secara telus dan melangkaui sempadan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengikuti rapat kes berkenaan dan sentiasa berhubung dengan pihak berkaitan untuk mengetahui perkembangan semasa.
“Kita tidak kira anak sesiapa pun, miskin atau kaya. Saya hari-hari hubungi pihak berkenaan untuk tanya ada kesilapan atau sebagainya kerana ia melibatkan kematian. Ini bukan perkara mainan,” katanya ketika berucap sempena Rancakkan Madani Kelantan di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini hari ini.
Anwar memberitahu, semua yang dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang serta Peguam Negara mengarahkan menggali semula kubur dan membuat bedah siasat terhadap mangsa.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, proses menggali semula kubur Zara Qairina dijalankan secepat mungkin bagi melengkapkan kertas siasatan dan bedah siasat berhubung kes kematian pelajar itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan prosedur berkenaan dibuat selepas menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang
memutuskan terdapat keperluan bagi proses tersebut dijalankan.
“Pihak polis telah menghantar kertas siasatan kepada AGC. Selang beberapa hari, AGC telah mengeluarkan arahan bahawa terdapat keperluan untuk kuburnya digali semula bagi melengkapkan dan mengukuhkan lagi kertas siasatan.
“Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail telah diberi taklimat mengenai arahan tersebut pagi tadi sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan prosedur seterusnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan jamin kes Zara Qairina disiasat secara telus appeared first on Kosmo Digital.