Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – United Kingdom (UK) menyatakan hasrat untuk meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pemindahan teknologi, pembangunan kurikulum bersama, pertukaran pelajar dan tenaga pengajar.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama itu termasuk program latihan kemahiran khusus dalam bidang masa depan seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, pihaknya yakin kolaborasi itu akan membuka lebih banyak peluang mobiliti dan inovasi pendidikan, sekaligus mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan yang lebih kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
“Ini sekaligus menunjukkan bahawa pihak negara luar semakin mengiktiraf Malaysia sebagai antara hub pendidikan tinggi terbaik di rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kemahiran UK, Rt Hon Baroness Jacqui Smith, di Putrajaya.
Dalam pada itu Zambry berkata, pertemuan dua hala itu membuka ruang perbincangan yang konstruktif ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan UK dalam bidang pendidikan tinggi dan pembangunan kemahiran.
“Saya berkongsi bahawa Malaysia kini mempunyai 36 politeknik dan 105 kolej komuniti yang berperanan penting dalam memperkasa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Institusi-institusi ini bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah sedang giat memperluas pelaksanaan pendekatan Work-Based Learning (WBL) serta memperkukuh hubungan dengan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post UK berhasrat jalin kerjasama dalam bidang pendidikan appeared first on Kosmo Digital.