Auto Added by WPeMatico

KOTA TINGGI – Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam dua kejadian kemalangan berasingan di Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pertama, seorang wanita dikenali sebagai Hamizah Ahmad, 55, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan sejurus turun dari bas di Kilometer 42 jalan berkenaan, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.10 pagi apabila sebuah Perodua Myvi berwarna perak dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi dipercayai tidak sempat mengelak mangsa yang secara tiba-tiba berlari melintas jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 33.5 jalan sama, seorang lelaki warga Indonesia maut manakala seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi melibatkan motosikal jenis Modenas CT dan Yamaha LC135.
“Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC135 dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Modenas CT yang berada di laluan sama,” katanya.
Tambah beliau, penunggang Modenas CT disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala penunggang Yamaha LC135 mengalami kecederaan di kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda antara RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua maut, seorang parah nahas berasingan appeared first on Kosmo Digital.